Keranamu Bapak Pram Kami Menulis

Oleh : Mohd Rashidi

“Karyanya baik cerpen mahupun novel memberikan sumbangan, pemikiran dan renungan humanisme, neo kolonialisme serta makna kemerdekaan. Pengaruhnya yang luar biasa telah mendunia dan itulah salah satu kekayaan yang dimiliki Asia Tenggara.”

Inilah yang diungkapkan oleh Prof Dr Djoko Saryono ketika penulis bersama sahabat Lestari Hikmah menziarahi beliau 2 tahun yang lalu. Beliau yang juga Guru Besar Sastra Universitas Negeri malang, Jawa Timur menyebutkan 4 orang karyawan yang begitu dekat sekali dengan hati beliau iaitu Buya Hamka, Chairil Anwar, Sutardji Calzoum Bahri dan tentu sekali Pramoedya Ananta Toer. Pramoedya bukan sahaja mencipta nama di tanah airnya sendiri bahkan karya agungnya Bumi Manusia diterjemahkan lebih daripada 40 bahasa.

Sasterawan kelahiran Jawa Barat (6 Februari 1925 – 30 April 2006) ini memulakan karier awalnya sebagai juru taip akhbar dan pada awal 60an beliau sempat menabur bakti di Universitas Trisakti. Itu semua tidak bertahan lama ternyata penguasa tidak senang duduk dengan karya Pramoedya yang dianggap kontroversi dan radikal. Maka Tangerang, Pulau Nusakambangan dan Pulau Buru menjadi “tempat istirehat” bagi beliau hampir 14 tahun.

Bagi Pramoedya pena itu merupakan suatu senjata yang amat “berbahaya” setiap masa dan setiap zaman. Seluruh umurnya dihabiskan berjuang melalui pena sehingga jeriji besi menjadi saksinya. Sepanjang hayat Pramoedya telah menghasilkan lebih dari 50 karya. Selain dari Tetralogi Pulau Buru (Bumi Manusia, Anak Semua Bangsa, Jejak Langkah, Rumah Kaca) yang sangat bersejarah itu, Pramoedya juga menulis judul yang lain seperti Arus Balik, Nyanyi Sunyi Seorang Bisu, Gadis Pantai, Arok Dede dan Panggil Aku Kartini Saja.

“Orang boleh pandai setinggi langit, tetapi selama ia tidak menulis ia akan hilang di dalam masyarakat dan dari sejarah. Menulis adalah bekerja untuk keabadian”.

Rumah Kaca

Berjuang Melalui Penulisan

Humanisme, kemiskinan, penindasan dan penjajahan sentiasa tidak lekang dari penulisan Pramoedya. Sejak dari muda hinggalah menghembuskan nafas terakhir beliau sentiasa bersemangat untuk berbicara hal ini. Melalui karya agungnya Bumi Manusia, beliau menunjukkan bagaimana pihak Belanda menganak tirikan watak utama Minke (seorang Jawa pribumi) di sekolah tempat Minke belajar sehinggalah kemuncaknya hubungan ibu-anak serta cinta bersemi antara Minke dan isterinya (kacukan Jawa-Belanda) dipisahkan oleh mahkamah.

Bumi Manusia juga menunjukkan bagaimana wanita menjadi mangsa eksploitasi melalui kegiatan pelacuran, perbudakan dan menjadi gundik. Bagi Eropah, orang Jawa adalah primitif, bodoh dan tidak perlu dihormati. Minke dan ibu mertuanya (Nyai Ontosoroh) merupakan perlambangan pribumi yang melawan kolonialisme dan mempunyai jiwa nasionalis yang kuat. Kedua watak ini dengan kuat memperjuangkan bahawa pribumi berhak mendapatkan pendidikan dan  menolak diperlakukan seperti budak oleh Eropah.

Humanisme bagi Pramoedya bersifat universal tidak mengenal agama, warna kulit, jantina mahupun pangkat. Melalui Bumi Manusia dan Gadis Pantai, beliau jelas menunjukkan keadilan dan ihsan itu wajib diberikan kepada semua orang walaupun orang itu gundik mahupun pelacur. Tambahan dari tu melalui karya Panggil Aku Kartini Saja, beliau ingin menyampaikan mesej perihal wanita yang perlu disempurnakan hak ke atas mereka serta perlu diakui bahawa wanita juga memainkan peranan penting jatuh bangun sesebuah ketamadunan.

Dari atas ke bawah yang ada adalah larangan, penindasan, perintah, semprotan, hinaan. Dari bawah ke atas yang ada adalah penjilatan, kepatuhan dan perhambaan.

– Rumah Kaca –   

Dalam mengkritik penjajah yang rakus dan mengeksploitasi orang bawahan, Pram juga tak lupa untuk memperingatkan kepada orang Jawa punca kemunduran mereka. Bagi Pramoedya adalah merupakan suatu penghinaan sekiranya orang Jawa lupa akan asal usul mereka, lupa jati diri dan terpesona dengan kemewahan dan kemodenan tajaan Eropah. Sebab itu hampir semua karya Pramoedya mempunyai latar sejarah Jawa yang kuat.

Pasca kemerdekaan setelah penjajah meninggalkan kepulauan Jawa, sudah pastinya akan muncul penjajah baru yang datang dari pribumi sendiri. Dalam karya Arok Dedek, Pramoedya jelas memaparkan bahawa kuasa dan pangkat akan menyebabkan seseorang boleh lupa diri. Arok Dedek memperlihatkan bagaimana watak seperti Ken Arok yang berpakat dengan elit istana untuk melakukan kudeta terhadap Tunggul Ametung untuk menaikkan kerajaan “tebuk atap”.

Kesatuan umat Nusantara antara mesej Pramoedya yang mungkin agak kabur tetapi perlu difikirkan. Di dalam karya Arus Balik mahupun karya yang lain, Pramoedya ingin menunjukkan Nusantara ini sebagai suatu kawasan strategik dari geografinya. Majapahit merupakan simbolik awal kesatuan wilayah yang pernah wujud sebelum ini. Kekuatan Nusantara sebagai kepulauan maritim selayaknya untuk diberdayakan.

Ini ditegaskan lagi oleh Pramoedya bahawa pertahanan Hindia Belanda itu didasarkan pada pertahanan darat manakala sistem pertahanan Indonesia harusnya pertahanan laut. Ini dibuktikan oleh Pramoedya pada tahun 1812, waktu Hindia Belanda dikurung Inggris dari laut, dalam beberapa hari sudah angkat tangan. Begitu juga ketika diserang Jepun pada 1942.

Begitu juga Nusantara harus sedar, bahawa kekayaan hasil bumi disini sentiasa dicemburui oleh pihak luar. Oleh kerana itu Portugis, Belanda, British berebut-rebut untuk datang ke mari. Tetapi setelah berpuluh tahun kepulauan ini menjadi negara pengimport bukannya pengeksport.

Multatuli Dan Pramoedya

Multatuli diambil dari frasa Latin yang bererti “Aku yang menderita” atau “Aku yang memikul banyak beban”. Multatuli atau nama sebenarnya Eduard Douwes Dekker merupakan pegawai dan penulis dari Belanda yang sempat berada di Pulau Jawa sekitar tahun 1830an. Multatuli seperti kata ramai pengkaji telah menggemparkan dunia Hindia Belanda dan Eropah melalui masterpiece beliau Max Havelaar yang diterbitkan pada 1860.

Melalui Max Havelaar, Multatuli telah memberikan suatu pukulan maut kepada kaum penjajah yang angkuh. Karya yang masyhur itu membayangkan perasaan kecewa Multatuli terhadap sistem kolonialisme yang menekan rakyat terjajah. Di masa itu, sistem tanam paksa merupakan sistem yang betul-betul menekan dan mengeksploitasi rakyat bawahan. Segala tanaman yang ditetapkan oleh penjajah ini seperti tebu, kopi dan teh akan dijual kepada penjajah kolonial dengan harga yang sudah tentunya tidak menguntungkan rakyat bawahan.

Max Havelaar bukan sahaja terkesan di Eropah bahkan menyedarkan orang Kepulauan Jawa bahawa mereka itu sedang dijajah. Karya ini telah memberikan bekas kepada tokoh besar seperti Jose Rizal, Soekarno, Kartini dan Pramoedya. Pramoedya acap kali dalam penulisan dan temu bual akan menyebutkan perihal Multatuli ini sehinggakan dalam novel Bumi Manusia misalnya menunjukkan watak utama Minke terinspirasi dengan Multatuli dan membaca Max Havelaar.

“Politikus yang tidak mengenali Multatuli adalah politikus yang tidak kenal sejarah Indonesia, humanisme secara moden dan bisa menjadi kejam”

Penutup

Hampir semua karya Pramoedya dilarang untuk diterbit dan diedarkan. Ada sebahagiannya juga telah dibakar. Mujur ada beberapa teman yang rapat dengan beliau mengambil inisiatif untuk mengedarkannya secara underground. Semasa Orde Baru hujung 90an barulah semua karya Pramoedya dapat diterbit dan dijual secara terbuka.

Jasa dan bakti beliau begitu membekas kepada orang Indonesia bahkan karya beliau dianggap bermutu diangkat di peringkat antarabangsa. Ini dibuktikan dengan karya beliau Bumi Manusia misalnya yang diterjemahkan kepada lebih 40 bahasa dan beliau sendiri dianugerahi dengan pelbagai anugerah seperti Weitheim Award dari The Weitheim Foundation (Leiden), UNESCO Madanjeet Singh Prize, Doctor of Human Letters dari University Michigan, Fukuoka Cultural Grand Prize (Jepun) dan Creative Arts dari Ramon Magsaysay Award Foundation (Filipina).

Terima kasih bapak Pram keranamu kami menulis. Sungguh suaramu masih kuat walaupun jasadmu berada di bawah tanah. Ternyata pengasingan tidak membuat jarimu membeku. Tulang punggungmu terlalu keras untuk membungkuk di hadapan sesiapa pun.

“Karena kau menulis. Suaramu takkan padam ditelan angin, akan abadi, sampai jauh, jauh di kemudian hari.”

– Anak Semua Bangsa –


Mohd Rashidi berasal dari Ipoh, Perak. Beliau menyampaikan syarahan di radio, universiti serta menulis dalam bidang Maqasid Syariah, tokoh, pemikiran dan gerakan Islam di Nusantara. Penulisan beliau diterbitkan di dalam dan luar negara seperti Kompas dan Suara Muhammadiyah. Mohd Rashidi merupakan Presiden Lestari Hikmah sejak dari awal penubuhannya. Melalui Lestari Hikmah, beliau menjalinkan kerjasama dengan universiti, NGO dan penyelidik dalam perkara kebudayaan, sejarah, literasi dan pendidikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *