Islam, Monarki dan Pemerintahan
Oleh: Nur Hisyam
Reaksi segelintir masyarakat yang tidak boleh langsung menerima sebarang kritikan yang diberikan kepada golongan pemerintah walaupun dalam bentuk teguran dilihat sebagai sesuatu ketaksuban tidak berasas.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 113,
“ Dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (agama yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab Suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti yang dikatakan oleh mereka itu,”
Petikan ayat daripada Al-Quran ini memperkenalkan punca sebenar ketaksuban adalah daripada kejahilan dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang cukup. Hal ini disebabkan kehidupan mereka yang terhad untuk mencari ilmu ataupun sudah mengikat hati untuk menerima bulat-bulat apa yang dipelajari tanpa mempersoalkan kredibiliti fakta yang dihujakan sebelum dijadikan sebagai rujukan. Hal inilah yang melanda masyarakat Melayu di Malaysia hari ini. Keadaan ini boleh merujuk kepada oblomovisme, satu istilah yang melambangkan sikap acuh tidak acuh dan kemalasan yang muncul daripada karakter Oblomov yang merupakan watak dalam novelis Rusia yang terkenal iaitu Goncharov. Keadaan ini turut dikenali juga sebagai bebalisme yang merupakan sikap yang terdiri daripada pelbagai perangai yang dimanifiestasikan hasil ketidaktahuan, acuh tidah acuh, keras kepala dan malas. Keadaan ini boleh muncul seiring dengan ideologi dan sistem kepercayaan. Oleh hal yang demikian, hal ini boleh dilihat melalui reaksi rakyat Malaysia terhadap isu monarki, raja berpelembagaan dan pemerintah di Malaysia pada hari ini.
Adakah Tiada Monarki Dalam Islam?
Kenyataan bahawa dalam Islam tiada monarki merupakan satu perkara yang perlu difikir semula dan direnung oleh kesemua masyarakat Melayu Islam. Dalam Islam, keutamaan sesuatu perlantikan ketua atau pemerintah dilakukan berdasarkan kelayakan dan undian bukan pula kerana keturunan. Sebab itu boleh dilihat selepas wafatnya Rasulullah yang menjadi pemimpin selepas itu adalah Abu Bakar bukannya Ali walaupun Ali adalah pemimpin paling layak dijadikan ketua jika dinilai melalui keturunan kerana Ali merupakan satu keturunan dengan Rasulullah dan juga merupakan menantu Rasullulah dan tidaklah pula dilantik Aqil sepupu Rasulullah mahupun Abbas bin Abu Muttalib, bapa saudara Rasulullah .Prinsip yang sama terguna pakai dan boleh dilihat melalui perlantikan Umar Al-Khattab, Uthman Bin Affan dan Ali Bin Abi Talib yang menggunakan prinsip pencalonan dan undian berdasarkan keupayaan mereka bukannya kerana keturunan melainkan perlantikan Umar Al-Khattab yang dicalonkan terus oleh Abu Bakar. Hal yang demikianlah membuktikan bahawa Islam itu tidak lahir bersama-sama institusi monarki dan tidaklah pula Islam itu sendiri mengamalkan sistem monarki sebagai asas pemerintahan.
Kemunculan Monarki
Sejarah kemunculan monarki dalam Islam bermula ketika era kerajaan Bani Umayyah yang bermula dengan Mu’awiyah Bin Abu Sufyan yang seterusnya diwarisi dalam keluarga mereka. Keadaan ini berlaku selepas Mu’awiyah mewajibkan seluruh rakyatnya untuk menyatakan taat setia kepada anaknya, Yazid. Keadaan ini merupakan satu bentuk pengukuhan terhadap sistem pemerintahan berasaskan turun temurun dan tidak lagi berasaskan musyawarah dalam menentukan pimpinan baru berdasarkan kelayakan dan bukannya lagi keturunan sebaliknya melalui konsep pemindahan kepada putera mahkota.
Menurut Taqiyuddin Ibnu Taimiyah dalam karyanya As-Siasah Asy-Syar’iyyah Fil Islah Ar- Ra’iyah,
“ sistem pemerintahan Islam yang pada masa Khulafa Ar Rasyidin yang bersifat demokrasi berubah menjadi monarki, sebuah kerajaan turun temurun.”
Sistem yang sama terus digunapakai dalam dua dinasti besar dalam kerajaan Islam iaitu Abbasiyah dan Uthmaniyyah. Sistem yang sama turut digunapakai beberapa dinasti kecil seperti Fatimiyyah dan Ayubiyah yang bertapak di Mesir dan Dinasti Saljuk.
Perlu juga difahami ketika zaman Rasulullah, sistem monarki ini telah lama wujud. Hal ini boleh dilihat melalui kerajaan Rom, Parsi dan Mesir yang pernah diutuskan surat oleh Rasulullah pada satu ketika dulu turut mengamalkan sistem monarki. Bahkan institusi monarki ini juga pernah diamalkan ketika zaman Nabi Daud dan Nabi Sulaiman sendiri.
Namun apa yang cuba disampaikan adalah kenyataan bahawa institusi monarki ini tidak datang bersama Islam sehingga kita menganggap tanpa kewujudan institusi monarki agama Islam tidak langsung terbela sedangkan sudah terbukti di era Khulafa Ar Rashidin yang menentukan kemajuan negara dan kebajikan rakyat dan negara adalah keupayaan pemerintah mentadbir bukannya kerana genetik, DNA mahupun kerana keturunan mereka. Semuanya adalah keluasan fiqh siasah (politik) yang anjal di dalam Islam yang boleh berinteraksi dengan tempat dan zaman.
Institusi Beraja Malaysia
Di Malaysia pula, institusi monarki ini sudah bertapak sejak kerajaan Kedah Tua dan juga sejak kedatangan Parameswara ke Melaka yang seterusnya mendirikan sebuah kerajaan baru. Bermula daripada itu, lahir institusi beraja di beberapa buah negeri yang lain seperti Perak dan Johor dan sehingga ke hari ini institusi beraja terus kekal di Malaysia. Jika satu ketika dahulu mengamalkan sistem monarki raja berkuasa mutlak hari ini ia telah berubah menjadi sistem Raja Berperlembagaan.
Raja-raja Melayu hari ini tidak lagi mempunyai kuasa mutlak untuk mentadbir negara sebaliknya diberikan kuasa menjadi ketua agama dan adat istiadat Melayu dan beberapa kelebihan yang termaktub dalam Perlembagaan Perseketuan. Keadaan ini ditafsir sebagai satu bentuk perkongsian kuasa antara raja dan rakyat. Raja akan memastikan berlakunya semak imbang secara adil dalam cabang perundangan eksekutif dan kehakiman tatkala memperkukuhkan institusi demokrasi negara.
Sisi Buruk Yang Tersembunyi
Walaupun institusi monarki ini dilihat mempunyai impak besar dalam kita melihat keagungan sejarah Islam, ada bahagian cuba disembunyikan bila berbincang mengenai impak negatif institusi monarki kepada masyarakat Islam itu sendiri. Ketika rata-rata menjaja kehebatan pemimpin yang wujud dalam monarki bagi menggambarkan kehebatan sistem tersebut dengan kisah Umar Bin Abdul Aziz, Harun Ar Rashid dan Muhammad Al Fateh. Mereka tidak pula menyatakan kisah yang berlaku kerana sistem monarki yang mengangkat pemimpin berdasarkan keturunan dan bukannya yang berkelayakan.
Mereka yang dianggap sebagai golongan intelektual dan sentiasa dirujuk seharusnya menceritakan hal yang sebenar tanpa perlu menyembunyikan beberapa fakta yang sebenar. Disebabkan mereka inilah masyarakat kita kekal dalam keadaan bebal dan tidak berpengetahuan. Sekaligus, menafikan anggapan mereka ini golongan intelektual sedangkan menurut Edward Said,
“ seorang intelektual adalah seorang yang mandiri dan menyampaikan pandangannya dengan segala kejujuran dan kearifannya tanpa menapis atau menyesuaikan rumusannya untuk menyedapkan hati para pengendali kuasa. ”
Hal ini mungkin berlaku untuk menjaga ketaatan dan kesetiaan masyarakat terhadap institusi beraja namun hal sebenar perlu juga diberitahu tanpa perlu disembunyikan agar sejarah yang sama tidak lagi berulang seperti ketika era Uthmaniyyah yang leka dengan keagungan silam mereka akhirnya tersungkur di tengah-tengah pergolakan dan perebutan kuasa Barat.
Untuk menceritakan sejarah monarki dalam kerajaan Islam haruslah diceritakan juga sisi sejarah yang cemerlang dan yang tragis. Apakah kisah Ibnu Hanbal yang dihukum, dipenjara dan ditarik dengan kuda gara-gara tidak mahu setuju dengan apa diperkatakan Khalifah Abbasiyah ketika itu iaitu al-Makmun dan al-Mu’tashim bahawa Al-Quran itu makhluk diceritakan kepada masyarakat Islam? Begitu juga nasib yang menimpa kepada Imam Al Nawawi, Imam Asy Syafee dan Ibn Rusyd. Mereka ini ulama dan ilmuan yang vokal kepada pemerintah.
Jika masalah itu merupakan hal monarki di Tanah Arab bagaimana pula yang berlaku di Tanah Melayu. Kisah kejahatan Sultan Mahmud Shah yang akhirnya membawa kepada kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Bagaimana pula kisah Sultan Mahmud Shah II yang menyebabkan kematian Dang Anum? Bagaimana pula kisah kerana ingin merebutkan jawatan raja dan mendapatkan sokongan penjajah habis digadaikan tanah milik negerinya sendiri?
Kritikan
Perlu difahami kritikan terhadap raja-raja Melayu dan institusi monarki bukan untuk memburukkan mereka mahupun memupuk kebencian kepada raja-raja Melayu sebaliknya menyatakan hal sebenar tentang keburukan monarki yang kisahnya lebih kurang seperti keburukan demokrasi yang dibenci oleh Sokrates.
Tatkala ada ulama seperti Imam Ibnu Hajar yang mengiktiraf baik sistem beraja, “ Melantik raja hukumnya fardhu kifayah seperti melantik kadi.” Namun perlu juga kita berpegang dengan kenyataan Imam Yusuf Al Ardabili Al Syafie juga bahawa, “Umat Islam mestilah mempunyai raja yang mendirikan agama dan membela orang yang teraniya dan menyempurnakan hak, oleh itu wajib melantik jika raja itu mangkat.” Namun apa yang berlaku kepada nasib orang Melayu dan orang Islam hari ini? Apa yang dilakukan raja-raja Melayu sebagai pelindung bangsa dan agama?
Di dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah yang ditulis Munsyi Abdullah ada bahagian di mana beliau ke Kelantan dan menasihatkan raja-raja di negeri itu membaca Tajus Salatin untuk mengetahui tanggungjawab sebagai raja. Apa yang menariknya di dalam Tajus Salatin yang dikarang Bukhari al-Jauhari ini mengandungi 24 fasal yang membincangkan apa yang perlu dilakukan oleh raja. Buku ini satu ketika dahulu sangat berpengaruh dan digunapakai untuk memerintah oleh raja-raja Melayu di Kedah, Johor, raja-raja Jawa dan pernah digunakan oleh Belanda untuk mentadbir Indonesia. Namun malangya hari ini, jika kita singkap 24 fasal yang terkandung dalam Tajus Salatin itu, apakah ia diamalkan oleh pemerintah hari ini?
Penutup
Sebenarnya apa yang dikritik itu adalah cara pemilihan raja baru yang dikhuatiri menyebabkan raja yang dilantik nanti raja yang tidak berkeupayaan mentadbir dengan baik, yang tidak membantu menjaga kebajikan masyarakat Islam serta menjaga kedaulatan agama. Kritikan juga wujud kerana melihatkan raja Melayu yang tidak cuba membantu masyarakat Melayu yang benar-benar tertindas, hidup menderita dan miskin. Jika tidak, mana mungkin wujud golongan gelendangan tidak berumah dan orang Melayu yang merempat di kaki lima.
Apa yang disampaikan adalah dengan harapan masyarakat kita agar celik daripada lena hanyut di dalam kebebalan untuk mencari kebenaran dan tidaklah menghukum tanpa usul periksa serta berbincang secara berhemah dan berilmiah.
Meminjam ungkapan Saidina Ali, “ Kekuasan itu ibarat jalan bebas hambatan menuju penegakkan keadilan dan kebenaran,” dan hal ini hanya akan menjadi nyata seandai pemimpin yang dilantik itu berkeupayaan dan melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan kepadanya bukannya sekadar megah dengan status rajanya semata-mata sehingga menggunakan kisah yang digelapkan sedikit sisinya untuk terus berkuasa sehingga apa yang mereka kerjakan tidak boleh dikritik dan diperkatakan. Menutup dengan kata-kata Hang Jebat, “ Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.”
RUJUKAN
- Raja Ahmad Aminullah, Minda Tertawan Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa, Selangor: Strategic Information and Research Development Centre, 2011
- Hamka, Sejarah Umat Islam, Selangor: PTS Publication, 2016
- Auni Bin Haji Abdullah, Ulama Melawan vs Ulama Tertawan : Satu Perspektif Sejarah, Selangor: Strategic Information and Research Development Centre, 2018
- Syed Hussein Alatas, Intelektual Masyarakat Membangun, Selangor: Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2016
- Shahmrahayu Abdul Aziz, Hormati Sistem Pemerintahan, Mingguan Malaysia, 10 Jun 2018, muka surat 6. Diakses daripada http://irep.iium.edu.my/67232/
- Ahmad Zaharuddin Sani Sabri, Raja Ikon Penyatuan Bina Negara Bangsa Berdaulat, Berita Harian, 23 September 2014, muka surat 32-33. Diakses daripada http://myrepositori.pnm.gov.my/xmlui/handle/123456789/2423
- Rahimah Hamdan, Arba’ie Sujud, Duka Yang Bertakhta Adab Pemerintahan Dalam dua Karya Kesusasteraan Melayu Tradisional, JMS Vol. 1 Issue 1 (2018): muka surat 233-272
Nur Hisyam berasal dari Ipoh, Perak. Merupakan pelajar BA Pendidikan Sejarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mantan Presiden Kelab Debat Bahasa Melayu UPSI. Beliau kini adalah Felo Lestari Hikmah.