Mengangkat Tema Pemikiran Islam Di Nusantara

Oleh: Mohd Rashidi

Dalam keadaan dunia Muslim Arab sentiasa mengecewakan tanpa ada pembaharuan sebaliknya yang ada hanyalah pergolakan selepas dari Arab Spring, seolah seperti tidak ada harapan dari benua sana sebaliknya Nusantara perlu memainkan peranan untuk bersuara dan memberikan sumbangan pemikiran kepada dunia Islam. Inilah yang disebut oleh Prof Amin Abdullah ketika memulakan bicaranya di Ipoh, Perak suatu negeri di semenanjung Malaysia yang bertemakan Seminar Pemikiran Buya Hamka.

Sudah tentu tajdid dan naratif pemikiran Islam di Nusantara jauh berbeza dengan dunia Islam di luar sana. Pendekatan Muslim disini lebih lunak, harmoni dana aman. Dengan menyebut tokoh tersohor Nusantara Buya Hamka, amat jarang sekali ditemui sosok cosmopolitan yang mampu menulis lebih 120 karya dan penulisannya itu terdiri dari pelbagai disiplin ilmu sama ada tafsir, sejarah, pemikiran, fiqh dan sastera, Sudah tentu magnum opus beliau Tafsir Al Azhar telah mengharumkan nama beliau sehingga dikaji dan diduskusikan sehingga hari ini. Sebagai seorang yang otodidak, Prof Amin menyebut ‘intellectual journey’ Buya Hamka menjadikan beliau mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas. Ini boleh didapati di dalam karyanya  4 Bulan Di Amerika dan Kenangan -Kenanganku Di Malaya.

Disamping perihal Buya Hamka, Prof Amin menyebut Nusantara harus mengeksport pengalaman yang dimiliki oleh organisasi yang besar iaitu Muhammadiyah. Kejayaan terdiri lebih dari satu dekad dan mempunyai puluhan juta ahli serta mempunyai lebih 100 pengajian tinggi, ratusan rumah sakit dan ribuan sekolah sudah tentu ini menjadi rujukan kepada organisasi Islam di negara lain. Dengan menyebut 5 ciri iaitu salafiyyah, wasatiyyah, asriyyah, amaliyyah dan tajdid inilah yang memacu kejayaan Muhammadiyah selama ini.

5 ciri ini merupakan tonggak yang penting dalam mendepani dunia moden. Diatas sikap tidak mampu untuk wasatiyyah yakni sederhana/toleransi menyebabkan Taliban meruntuhkan patung Bamiyan di Afghanistan. Sama juga keperluan untuk memahami tantangan zaman seperti isu Revolusi Industri 4.0, transnasionalisme, kerancuan media sosial dan pelbagai lagi.

Seminar di Ipoh ini diserikan lagi dengan peluncuran Ensiklopedia Buya Hamka dan buku Fresh Ijtihad serta ucapan dari putera kesembilan Buya Hamka iaitu Drs Afif. Seminar ini merupakan anjuran bersama Pertubuhan Lestari Hikmah, Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia, Ikram Perak, Suara Muhammadiyah dan Universitas Prof Dr Hamka. Sesungguhnya Ipoh ini tidaklah asing buat tokoh dari buat tokoh dari Indonesia kerana 60 tahun yang lampau Buya Hamka pernah bertandang kesini di Kampung Maindailing, Chemor dimana saudara maranya masih ada disini. Tidak lupa juga Adam Malek mantan Timbalan Presiden Indonesia juga sering kesini. Moga silaturahmi dan silang keilmuan diantara Ipoh, Perak dan Indonesia sentiasa mekar sehingga hari-hari mendatang.


Mohammad Rashidi anak kelahiran Ipoh, Perak berkelulusan didalam bidang syariah merupakan Pengerusi Lestari Hikmah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *