Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi
Oleh: Alip Moose
Buku ini ditulis oleh Dr Azhar Ibrahim yang tak perlu lagi diperpanjangkan lagi akan latar belakang pengajian beliau cukup dikenali sebagai yang mahir selok belok pengajian Melayu dan cabangnya.
Kita orang Melayu dan menetap di Malaysia hidup selepas kemerdekaan wajar mengenali akan tokoh-tokoh pejuang pencerahan dan kebebasan minda bangsa massa Melayu dan seluruh manusia di alam Melayu khususnya. Buku ini adalah salah satu daripadanya untuk mengenali dan memahami akan gagasan pemikiran mereka. Mereka ini terdiri daripada intelektual dan intelegensia yang formal dan tak formal tetapi mempunyai kesamaan iaitu kesedaran dan kecerahan kritis dan kreatif untuk pembebasan minda dan membawa kepada tindakan atau juga aksi lawan.
Bab ini mempunyai sepuluh bab (10), tetapi dimulai dengan sekapur sirih dan pengenalan dan diakhir bab kesepuluh semuanya itu mempunyai satu (1) lampiran syair oleh Dr Azhar Ibrahim sendiri yang berjudul Syair Si Malim Khadam.Lapan (8) tokoh dibahaskan didalam ini seperti Tuan Simi, Abdullah Munshi, Shahnon Ahmad, Masuri S.N., A Samad Said, Abdullah Hussain, Rustam Sani dan Syed Hussein Alatas. Perbahasan Tuan Simi dan Abdullah Munshi itu disekalikan didalam satu perbahasan artikel atau makalah pada bab dua (2).
Pada bab satu (1) penulis membahaskan apa itu intelegensia yang berfungsi dan bagaimana cara-cara mereka memberdayakan sosial kalangan massa Melayu waktu itu. Penulis menerangkan dengan mengutip pendapat-pendapat daripada ahli sosial dan intelektual barat dan timur perihal makna intelektual, intelegensia dan cendekiawan itu sendiri. Seterusnya penulis menerangkan perbezaan diantara kritis dan pemberdayaan.
Bab kedua (2) ini pula ditunjukkan bagaimana Tuan Shimi dan Abdullah Munshi yang hidup pada zaman penjajahan, memerhati dan menilai penjajah dan bangsa Melayu khususnya elit Melayu pada waktu itu dan mereka mengkritik melalui karya-karya mereka dan syair-syair mereka.
Bab ketiga (3) memperihalkan pula Shahnon Ahmad. Shahnon Ahmad mempunyai pemihakan terhadap massa Melayu dan khusus terhadap fakir miskin. Banyak motivasi kepada massa Melayu dan kritikan terhadap elit melayu dan borjuis kecil dihadapkan kepada mereka dengan melalui saluran novel semestinya.
Bab keempat (4) mengenai Masuri S.N., seorang sasterawan yang berunsur sufi tetapi mempunyai keberpihakan kepada massa Melayu dan orang-orang tertindas. Disini bagaimana Dr Azhar Ibrahim membahas gagasan pemikiran beliau (Masuri S.N.) dengan baik, sebagaimana banyak disertakan syair-syair Masuri SN dan ditelaah menurut sisi-sisi sosiologis dan spiritualiti inklusif.
Bab kelima (5) adalah A Samad Said sasterawan masyhur di Malaysia, kali ini dijelaskan pemikiran beliau yang –menurut aku- sebagai sosialisme-realisme, atau ianya tidak mempunyai tampak yang jelas terhadap keberpihakan kepada kaum mustad’afin, tetapi tidaklah menyatakan ianya langsung tiada ghairah terhadap keadaan sosial dan menjadi pemihak elit melayu. Ada keberpihakan tetapi tidaklah sejelas Shahnon Ahmad. A Samad Said adalah sasterawan yang melihat keadaan sosial dengan mata ‘kemanusiaan’ dan itulah kelebihannya menulis dalam rentak yang tak bergegar dan tak mendayu-dayu seperti perakam video dan itulah beliau.
Bab keenam (6) Abdullah Hussain bab ini mengkhususkan kepada novel beliau, Al-Imam. Novel ini berunsurkan keagamaan atau lebih tepat pemikiran Islam di tanah Melayu, pertentangan antara kaum-muda dan kaum-tua, atau salafi dan tradisionalis dan sebagainya. Dalamnya kita tampak beliau (Abdullah Hussain) mempunyai pemikiran terhadap apa yang beliau anggap sebagai pembaharuan, dengan watak Hj Mihad. Tetapi penulis (Dr Azhar Ibrahim) membahas, meneliti dan mengkritik beberapa pemikiran didalam itu seperti reformistik yang dibawa oleh Abdullah Hussain pada watak Hj Mihad itu masih lagi formalistik mungkin bahkan boleh membawa kepada puritan atau puritanikal yang keras. Tetapi novel ini tidak boleh dipandang enteng untuk pengkaji kerana ianya juga membawa juga pencerahan terhadap pembaca dan disertakan kajian oleh ahli dan sarjana kita.
Bab ketujuh (7) Rustam Sani seorang cendekiawan awam, Dr Azhar Ibrahim memberikan judul MENJADI MANUSIA MELAYU BARU. Almarhum seorang yang dihormati, mempunyai pemikiran dan kecerdasan seorang intelektual dan berpihakan kepada massa melayu. Seorang yang tinggi daya pemerhatian juga sangat kritis terhadap ahli politik –walau beliau juga berpolitik dalam erti berpartai dan mengkritik juga ahli akademik yang menjadi anjing politikus dan malap dan malah ahli akademik menjadi anti-intelektual oleh sebab itu. Seorang penulis yang rajin dan bersungguh dan mempunyai keberanian berfikir.
Antara cendekiawan awam yang mempunyai cita bahasa dan budaya bangsa, kedepan menekankan bahasa Melayu adalah bahasa sains dan ilmu katanya bukanlah bahasa itu sendiri yang mundur melainkan intelektual atau cendekiawan Melayu itu sendiri yang mundur, seperti katanya; “…kemunduran bahasa kebangsaan kita sebagai alat pengucapan budaya intelektual moden bukanlah masalah bahasa itu sendiri tetapi masalah kemandulan intelektual golongan terpelajar dalam masyarakat kita. Kita memerlukan satu golongan intelektual moden dan saintifik untuk membina satu tradisi intelektual berbahasa melayu yang mantap”.
Rustam Sani juga antara yang kedepan juga menekankan agenda terjemahan untuk massa Melayu, beliau sendiri juga mempunyai beberapa buku ilmiah yang diterjemahkan oleh beliau. Rustam Sani juga seorang ahli sains sosial yang bersungguh ingin membumikan dan menyemarakkan ilmu sains sosial ini bukan sahaja didalam universiti malah dicadangkan untuk peringkat sekolah menengah, kerana ilmu sains sosial ini juga mengajarkan orang berfikir dengan jelas setidaknya dan kritis. Rustam Sani dan Alatas antara yang terkedapan –setahu saya – yang menyerang dan membongkar akan apa yang dipanggil ‘penjajahan akademik’ atau sebagai istilah Alatas ‘captive mind’ atau ‘minda/benak tertawan’.
Bab kelapan (8) memperihalkan sosok cendekiawan melayu yang masyur, Syed Hussein Alatas. Pada bab ini Dr Azhar Ibrahim membahas konsepsi gagasan ilmiah Alatas seperti bebalisme, minda tertawan, akademik imperialis, jadong, cita sempurna dan cita bencana dan pelbagai lagi termasuklah psikologi feudal. Alatas dan Al – Attas (adik kandung beliau) memang antara intelektual dan sarjana yang masyhur di Malaysia banyak gagasan dan kehidupan Alatas ditulis dan dibahas orang. Dalam bab ini Azhar Ibrahim mencadangkan Alatas sebagai ilmuan contoh terhadap seluruh ahli ilmu sains sosial hendaknya.
Pada bab kesembilan (9) Dr Azhar Ibrahim menjelas perihal ilmu sains sosial yang emansipatif dan profetis, mana-mana pembaca yang biasa dan mahir dengan ilmuan seberang Indonesia seperti Cak Nur, Kuntowijoyo, Syafii Maarif dan Amien Rais pasti akan senang memahami gagasan Dr Azhar Ibrahim ini.
Pada bab kesepuluh (10) perbahasan ini lebih kurang seperti perbahasan bab sebelumnya cumanya ianya terlebih khusus kepada para sasterawan dan seniman. Akhirnya adalah lampiran syair berjudul Syair Si Malim Khadam karya Dr Azhar Ibrahim. Syair yang menarik seakan-akan rumusan dan simpulan semua perbahasan didalam buku itu.
Buku ini menjadi satu kewajiban –yang tidak berdosa jika tidak memiliki tetapi mendapat ilmu pengetahuan jika memiliki dan membaca- untuk setiap yang meminati akan pengajian Melayu juga kepada anak bangsa Malaysia sekalian. Saya rekomendasikan membaca buku ini.